Selasa, 24 Jun 2008

Ayah di majlis Pelancaran Wireless Shah Alam

Ahad 22 Jun 2008, ayah telah turut dijemput memberi ucapan dalam majlis perasmian pelancaran Wireless Shah Alam di Laman Budaya dan memberikan ucapan.
Pada hari ini tersiar dalam Utusan Malaysia berita tersebut.



Warga Shah Alam nikmati WiFi percuma

SHAH ALAM 23 Jun - Penduduk di pusat bandar Shah Alam mula menikmati kemudahan Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi) secara percuma yang dibangunkan melalui Projek Wayarles Shah Alam bermula hari ini.

Kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Jaring Communications Sdn. Bhd. (Jaring) itu boleh diakses menggunakan kata nama dan kata laluan: wirelessshahalam.

Bagaimanapun, kemudahan WiFi itu hanya diberikan secara percuma selama tiga bulan dengan tajaan Jaring dan selepas itu, pengguna mungkin akan dikenakan caj tetapi akan dipastikan pada kadar yang paling minimum.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail berkata, Projek Wayarles Shah Alam telah mula diaktifkan di kawasan pusat perniagaan Shah Alam dan mula digunakan selepas pukul 5 petang semalam.

Beliau berkata, kawasan pusat perniagaan Shah Alam dipilih kerana ia merupakan kawasan tumpuan awam, terdapat pelbagai kemudahan dan tarikan serta aktiviti perniagaan di situ.

Menurut beliau, antara kawasan yang mendapat liputan projek itu ialah persekitaran Wisma MBSA, bangunan Darul Ehsan, Dataran Shah Alam, Plaza Alam Sentral, Menara MRCB, Plaza Perangsang, SACC Mall, Kompleks PKNS dan taman tasik berhampiran.

"Selepas Shah Alam, projek ini akan diperluaskan ke Subang Jaya, Petaling Jaya dan bandar-bandar lain di Selangor secara berperingkat-peringkat kerana kemudahan ini akan memberi faedah kepada rakyat.

"Kami akan membuka peluang kepada badan-badan lain yang berminat untuk turut serta dalam projek ini di bandar-bandar lain di Selangor.

"Kami juga mensasarkan sebanyak 90 peratus penduduk bandar di seluruh Selangor akan menikmati kemudahan WiFi ini menjelang 2010," kata beliau selepas merasmikan Projek Wayarles Shah Alam di Laman Budaya di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Tarmedi Omar, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Noor dan Pengurus Besar Operasi Teknikal Jaring, Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen.

Tambah beliau, kemudahan WiFi yang disediakan di Shah Alam ini boleh dilayari sehingga seramai 200 pengguna serentak.

Rodziah memberitahu, Projek Wayarles Shah Alam itu merupakan salah satu daripada projek yang dirancang semasa Selangor di bawah kerajaan yang lama dan kerajaan yang baru meneruskannya kerana ternyata ia memberi faedah dan menguntungkan rakyat serta negeri.

"Ada pihak yang berkata, kami kurang mencetuskan idea bernas dalam mentadbir negeri dan hanya mengikut perancangan kerajaan lama tetapi kami tidak kisah jika ia bermanfaat kepada rakyat.

"Walaupun kami meneruskan projek kerajaan lama, tetapi kami tetap akan membaiki kekurangan yang ada padanya supaya ia dapat dilaksanakan dengan cara lebih baik," katanya.

Sementara itu, Mohamed Sulaiman dalam ucapannya berkata, Jaring merupakan syarikat pertama mempelopori dan membangunkan komunikasi WiFi di Selangor dan sehingga kini mempunyai 14 stesen pemancar di sekitar negeri Selangor dan Lembah Klang.

Sehubungan itu, kata beliau, inisiatif kerajaan Selangor membangunkan WiFi untuk rakyat dan penduduk negeri ini amat tepat kerana ia dapat memanfaatkan kemudahan yang telah sedia ada.

"Usaha ini akan membuka ruang kepada penduduk Selangor untuk menggunakan Internet secara lebih mudah dan ini akan mempercepatkan pencapaian penembusan penggunaan WiFi di kalangan penduduk Selangor.

"Jaring amat menghargai peluang yang diberikan untuk membangunkan projek perintis WiFi di kawasan Shah Alam yang telah beroperasi sejak April lalu," katanya.

Tambah Mohamed Sulaiman lagi, projek WiFi ini akan diperluaskan ke seluruh Selangor sama ada di dalam bandar mahupun di luar bandar.


Ini pula sekitar perasmian tersebut...













Tiada ulasan: