Isnin, 24 Ogos 2009

Kadar Zakat Fitrah

24 August 2009

Zakat Fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadhan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Daripada Ibn Abbas berkata : Rasulullah s.a.w memfardhukan zakat fitrah supaya dengannya membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan memberi makan kepada orang-orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka ia adalah zakat yang diterima dan barangsiapa yang menunaikannya selepas solat hari raya maka ia adalah sedekah seperti sedekah-sedekah biasa yang lain.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, semua umat Islam wajib membayar zakat fitrah. Untuk memudahkan semua, ini merupakan jadual kadar zakat fitrah yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing:

RM5.00/RM7.50 - Johor
RM7.00 - Kedah
RM6.90 - Kelantan
RM6.30 - Melaka
RM6.50 - Negeri Sembilan
RM7.00 - Pahang
RM7.00 - Perak
RM6.00 - Perlis
RM7.00 - Pulau Pinang
RM6.60 - Sabah
RM6.00 - Sarawak
RM7.00 - Selangor
RM5.00/RM7.00/RM8.00 - Terengganu
RM7.00 - Wilayah Persekutuan

Diingatkan bawa wang secukupnya ke kaunter zakat, kesian pada Amil jika kita beri duit besar. Kalau bawa secukupnya, ia akan memudahkan semua.

Nilaian zakat dalam matawang adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras (makanan asasi) yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri, dengan kadar 2.60 kilogram.

Hukum Waktu Zakat Fitrah:
1. Waktu Harus - bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.
2. Waktu Wajib - selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
3. Waktu Afdhal - selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri.
4. Waktu Makruh - selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.
5. Waktu Haram - selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Lafaz Zakat Fitrah:
1. Lafaz untuk diri sendiri:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.
2. Lafaz untuk diri sendiri dan tanggungan:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.
3. Lafaz bagi pihak:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili ...... pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

Tiada ulasan: